Masa untuk dikemas kini. Pelayar anda tidak lagi disokong pada Garmin Connect. Kami mengesyorkan supaya anda mengemas kini kepada versi terbaru bagi salah satu pelayar yang serasi...

Pernyataan Privasi bagi Garmin Connect dan Peranti Garmin yang Serasi

Kemas kini terakhir: 11 Julai, 2017

Privasi anda penting kepada Garmin. Kami menghasilkan Pernyataan Privasi ini agar anda tahu cara kami mengumpul, menggunakan, berkongsi dan menyimpan Maklumat Peribadi anda semasa anda menggunakan laman web Garmin Connect, aplikasi Garmin Connect Mobile dan peranti boleh pakai Garmin atau peranti Garmin lain yang serasi dengan Garmin Connect.

Laman web, aplikasi dan produk Garmin lain yang tidak termasuk pautan kepada Pernyataan Privasi ini dan termasuk pautan kepada dasar privasi Garmin yang berbeza akan dikawal oleh dasar privasi tersebut.

Untuk melangkau ke seksyen khusus Pernyataan Privasi ini, sila klik pada pautan di bawah:

Cara Garmin Mengumpul dan Menggunakan Maklumat Peribadi

“Maklumat Peribadi” ialah maklumat yang, sama ada secara tunggal atau digabungkan dengan maklumat lain yang dikumpulkan, boleh mengenal pasti seseorang. Apabila kami menggabungkan maklumat lain (iaitu maklumat yang dengan sendirinya tidak dapat mengenal pasti seseorang) dengan Maklumat Peribadi, kami menganggap maklumat gabungan itu sebagai Maklumat Peribadi.

Apabila Anda Mencipta Akaun Garmin

Apabila anda mencipta akaun Garmin, kami meminta anda memberikan Maklumat Peribadi, termasuk alamat e-mel dan nama anda. Anda tidak perlu memberikan nama penuh tetapi anda boleh jika mahu. Anda akan menggunakan alamat e-mel dan kata laluan untuk log masuk ke akaun anda. Akaun Garmin anda akan dilindungi dengan kata laluan. Anda boleh menambahkan maklumat tambahan kepada profil anda, seperti lokasi, jenis aktiviti yang disertai (contohnya, berlari, mengembara berjalan kaki, berbasikal, bermain golf, dll.) serta jantina, tarikh lahir, tinggi dan berat anda. Maklumat ini digunakan untuk tujuan seperti mengira kalori yang dibakar semasa aktiviti dan memberikan Insights tentang aktiviti anda. Selaras dengan undang-undang yang dikenakan dan pilihan yang tersedia bagi anda seperti yang diterangkan di bawah dengan tajuk Pilihan Anda Tentang Surat-Menyurat Pemasaran, Garmin mungkin juga akan menggunakan maklumat ini untuk menghantar maklumat tentang produk atau aplikasi Garmin yang mungkin anda minati.

Apabila Anda Log Masuk ke Akaun Garmin Connect Anda dengan Kelayakan Media Sosial

Anda boleh memilih untuk log masuk ke akaun Garmin Connect menggunakan kelayakan log masuk media sosial anda (contohnya, kelayakan log masuk Facebook anda). Jika anda memilih cara ini, apabila anda log masuk ke akaun Garmin Connect menggunakan kelayakan log masuk media sosial anda buat kali pertama, anda akan ditanya sama ada anda menyetujui pembekal media sosial memberikan maklumat tertentu kepada Garmin, seperti nama, alamat e-mel, gambar profil, siaran, komen dan maklumat lain yang berkaitan dengan akaun media sosial anda.

Semua maklumat ini akan diberikan kepada Garmin oleh pembekal media sosial disebabkan cara konfigurasi daftar masuk sosial berfungsi. Namun, antara semua maklumat ini, Garmin hanya mengekalkan dan menggunakan alamat e-mel anda. Garmin menggunakan alamat e-mel yang diberikan oleh pembekal media sosial untuk mengaitkannya dengan akaun Garmin Connect agar anda boleh menggunakan alamat e-mel untuk log masuk ke akaun Garmin Connect pada masa hadapan jika anda tidak lagi mahu log masuk menggunakan kelayakan log masuk media sosial.

Jika anda tidak mahu maklumat anda dikongsikan dengan Garmin oleh pembekal media sosial, maka anda hanya perlu log masuk ke akaun Garmin Connect menggunakan kelayakan log masuk Garmin tanpa menggunakan kelayakan log masuk media sosial anda.

Apabila Anda Menambahkan Peranti Garmin kepada Akaun Garmin Connect Anda

Apabila anda menambahkan peranti Garmin tertentu kepada akaun Garmin Connect anda, kami akan meminta maklumat tambahan, seperti jantina, tinggi, berat, tarikh lahir, tahap aktiviti (rendah, sederhana atau tinggi) dan waktu tidur dan bangun anda yang biasa. Maklumat ini digunakan untuk tujuan mengira kalori yang dibakar semasa aktiviti, memberikan Insights tentang aktiviti dan waktu tidur anda dan menetapkan peranti boleh pakai kepada mod “jangan ganggu” semasa waktu tidur anda yang biasa. Selaras dengan undang-undang yang dikenakan dan pilihan yang tersedia bagi anda seperti yang diterangkan di bawah dengan tajuk Pilihan Anda Tentang Surat-Menyurat Pemasaran, Garmin juga boleh menggunakan maklumat ini untuk menghantar maklumat tentang produk atau aplikasi Garmin yang mungkin anda minati.

Apabila Anda Menyegerakkan Peranti dan Memuat Naik Aktiviti dan Data Aktiviti Anda

Anda boleh memuat naik aktiviti (contohnya, berlari, berjalan, berenang, kembara berjalan kaki, sorok geo, pengembaraan dan lain-lain) dan data aktiviti (contohnya, langkah, jarak, kelajuan, masa aktiviti, kalori dibakar, kadar degupan jantung, tidur, statistik golf, dll.) daripada peranti kepada akaun Garmin Connect anda. Ini membolehkan anda menganalisis data aktiviti, menjejaki matlamat kecergasan dan jika anda mahu, berkongsi data aktiviti dengan orang lain. Jika peranti Garmin anda mempunyai keupayaan Bluetooth® dan anda menyambungkannya kepada aplikasi Garmin Connect Mobile, data aktiviti pada peranti Garmin akan dimuat naik secara automatik kepada akaun Garmin Connect anda.

Anda boleh mengawal sama ada orang lain dapat melihat data aktiviti anda dengan menguruskan tetapan privasi dalam akaun Garmin Connect anda. Data aktiviti anda ditetapkan kepada “Peribadi” secara lalai.

Garmin boleh mengakses akaun Garmin Connect anda untuk memberikan sokongan produk jika anda menghubungi kakitangan sokongan produk Garmin. Garmin juga boleh menggunakan data aktiviti anda untuk tujuan memperibadikan lagi pengalaman pengguna anda. Contohnya, jika anda memuat naik data aktiviti (seperti langkah, jarak, kelajuan, masa aktiviti, kalori dibakar, kadar degupan jantung, tidur, dll.) daripada peranti Garmin kepada akaun Garmin Connect anda, seksyen “Insights” akan disediakan dalam akaun Garmin Connect anda. Seksyen ini akan memaparkan cadangan dan mesej motivasi, serta maklumat dan pautan kepada artikel pihak ketiga yang mungkin anda minati berdasarkan data aktiviti anda. Anda boleh memilih keluar daripada menerima paparan “Insights” dalam akaun Garmin Connect anda pada bila-bila masa dengan mengikuti arahan pilih keluar pada Garmin Connect atau Garmin Connect Mobile.

Apabila anda menyegerakkan peranti anda melalui Garmin Connect, Garmin Connect Mobile atau Garmin Express, kami akan mengelog data tentang penghantaran ini, seperti alamat Internet Protocol (IP) yang digunakan semasa menyegerak, masa dan tarikh segerak, log ranap/diagnostik, lokasi geografi peranti, maklumat tentang peranti anda, maklumat tentang rangkaian yang digunakan untuk penyegerakan (contohnya, Wi-Fi atau selular) dan tahap bateri peranti. Kami menggunakan maklumat ini untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu penyegerakan.

Apabila Anda Menyambungkan Akaun Garmin Connect Anda kepada Aplikasi Pihak Ketiga

Jika anda mendayakan akaun Garmin Connect untuk mengakses akaun anda pada pembekal aplikasi lain, seperti akaun MyFitnessPal atau Strava, kami akan mendapatkan maklumat tentang anda daripada akaun tersebut (contohnya, bilangan kalori yang diambil pada hari tertentu daripada akaun MyFitnessPal atau siri aktiviti dan segmen daripada akaun Strava anda). Maklumat ini digunakan untuk menambahkan lagi maklumat aktiviti anda dalam Garmin Connect dengan maklumat yang anda berikan kepada aplikasi pihak ketiga sedemikian.

Anda boleh juga memilih untuk memberikan Garmin akses kepada senarai rakan atau kenalan anda melalui Facebook, Google atau peranti mudah alih anda. Jika anda memilih untuk melakukan ini, Garmin akan menggunakan maklumat tersebut untuk membantu anda menambahkan kenalan sebagai orang hubungan dalam Garmin Connect. Garmin tidak menggunakan senarai rakan atau kenalan untuk tujuan pemasaran kepada rakan atau kenalan anda.

Apabila Anda Berkomunikasi dengan Garmin

Apabila anda berinteraksi dengan wakil sokongan pelanggan kami melalui e-mel, telefon, dalam talian atau dengan bersemuka, kami boleh mengumpulkan Maklumat Peribadi seperti nama, alamat, nombor telefon, alamat e-mel dan pilihan cara hubungan, serta maklumat tentang produk Garmin milik anda seperti nombor siri dan tarikh pembelian. Kami juga boleh mencipta log peristiwa yang berguna dalam mendiagnosis masalah berkaitan prestasi produk atau aplikasi dan mengumpulkan maklumat berkaitan dengan masalah sokongan atau perkhidmatan. Kami menggunakan maklumat ini untuk menyediakan sokongan pelanggan dan produk untuk anda. Kami boleh mengakses akaun Garmin Connect anda untuk membantu kami memberikan bantuan yang diperlukan. Tertakluk pada undang-undang yang dikenakan, demi meningkatkan perkhidmatan pelanggan, kami mungkin juga merakam dan menyemak semula perbualan dengan wakil sokongan pelanggan, serta menganalisis sebarang maklum balas yang diberikan kepada kami melalui tinjauan pelanggan secara sukarela.

Kami boleh menggunakan Maklumat Peribadi untuk berkomunikasi dengan anda, termasuk berkomunikasi dengan anda tentang akaun atau transaksi anda dengan kami, memberi anda maklumat penting tentang produk atau aplikasi anda, menghantar notis kepada anda tentang perubahan penting pada Pernyataan Privasi ini, serta selaras dengan undang-undang yang dikenakan dan pilihan yang tersedia bagi anda seperti yang diterangkan di bawah dengan tajuk Pilihan Anda Tentang Surat-Menyurat Pemasaran, menghantar tawaran dan promosi bagi produk dan aplikasi kami kepada anda.

Apabila Anda Memberikan Keizinan kepada Connect Mobile App

Untuk memperibadikan lagi pengalaman pengguna anda, Garmin Connect Mobile meminta keizinan untuk mengakses data tertentu daripada telefon mudah alih anda. Keizinan ini tidak wajib, tetapi sesetengah ciri mungkin tidak tersedia atau tidak berfungsi sepenuhnya jika anda menolaknya. Anda boleh menukar fikiran (untuk memilih masuk atau memilih keluar) pada bila-bila masa melalui menu tetapan telefon mudah alih anda.

Berikut adalah keizinan yang kami minta, bersama dengan penerangan mengapa kami membuat setiap permintaan itu:

  • SMS, Telefon dan Kalendar: Digunakan untuk Pemberitahuan Pintar bagi menghantar pemberitahuan SMS, Panggilan Telefon dan Acara Kalendar daripada telefon mudah alih kepada peranti Garmin anda.
  • Kenalan: Membolehkan anda menambahkan kenalan yang juga pengguna Garmin sebagai orang hubungan, menghantar undangan LiveTrack kepada kenalan anda dan memilih satu atau lebih kenalan anda sebagai orang hubungan kecemasan bagi peranti Garmin yang mempunyai ciri Pengesan Kejadian.
  • Lokasi: Membolehkan data cuaca dihantar daripada telefon mudah alih kepada peranti Garmin, yang digunakan untuk mencari Segmen dan Padang Golf berdekatan, serta membolehkan data lokasi dipaparkan pada perjalanan aktiviti dan peta segmen dalam akaun Garmin Connect anda.
  • Kamera: Membolehkan ciri “Cari Telefon Saya” yang tersedia pada peranti Garmin tertentu untuk menggunakan denyar LED telefon mudah alih anda sebagai isyarat.
  • Foto/Media/Fail: Membolehkan aplikasi mencipta fail sementara pada telefon mudah alih anda semasa proses penyegerakan yang mengandungi data yang diterima daripada peranti Garmin sebelum memuat naik data ke dalam akaun Garmin Connect anda.
  • ID Peranti & Maklumat Panggilan: Digunakan untuk Pemberitahuan Pintar bagi mengesahkan jika anda telah menerima atau menolak panggilan sebelum menghantar pemberitahuan kepada peranti Garmin anda. Ia juga digunakan oleh ciri “Cari Telefon Saya” untuk menghantar isyarat kepada telefon mudah alih anda.

Untuk maklumat tambahan tentang keizinan, sila lihat di sini.

Apabila Anda Menggunakan Ciri Lokasi pada Peranti Garmin Anda

Jika anda mengaktifkan ciri GPS pada peranti Garmin semasa suatu aktiviti sedang berjalan, data lokasi yang berkaitan dengan aktiviti anda akan dimuat naik ke dalam akaun Garmin Connect apabila anda memuat naik data aktiviti daripada peranti Garmin. Dengan itu, lokasi akan dipaparkan pada laluan aktiviti dan peta segmen.

Apabila Anda Membeli Produk pada Laman Web Garmin

Jika anda klik pada pautan dalam Garmin Connect untuk membeli produk Garmin, anda akan dihalakan ke buy.garmin.com. Pernyataan privasi pada buy.garmin.com mentadbir pengumpulan Maklumat Peribadi apabila anda membeli produk Garmin secara dalam talian di laman Garmin.

Penggunaan Lain Maklumat Peribadi oleh Garmin

Garmin juga mungkin menggunakan Maklumat Peribadi untuk tujuan statistik dalaman, pemasaran atau operasi, termasuk menjana laporan jualan dan menilai serta memahami demografi, minat pengguna, pembelian dan aliran lain dalam kalangan pelanggan kami.

Cara Anda Berkongsi Maklumat Peribadi atau Mengarahkan Garmin Untuk Berkongsi Maklumat Peribadi Anda

Aktiviti dan Data Aktiviti

Aktiviti dan data aktiviti anda yang berkaitan dengan akaun Garmin Connect ditetapkan kepada “Peribadi” secara lalai. Anda boleh membenarkan orang lain melihat aktiviti dan data aktiviti anda dengan mengubah tetapan privasi dalam akaun Garmin Connect anda. Anda juga boleh memilih untuk menyertai pengguna Garmin Connect yang lain dalam Cabaran dan Papan Pendahulu. Apabila anda berinteraksi dengan orang lain dengan cara ini, anda akan memaparkan data anda yang berkaitan dengan Cabaran atau Papan Pendahulu (contohnya, jumlah langkah terkumpul semasa tempoh Papan Pendahulu atau Cabaran langkah) walaupun tetapan privasi dalam akaun Garmin Connect anda ditetapkan kepada “Peribadi”.

Jika anda mempunyai peranti Garmin berdaya ANT+, anda boleh memindahkan data secara wayarles (termasuk data aktiviti) daripada peranti Garmin anda kepada peranti serasi ANT+ yang lain (contohnya, peralatan kecergasan, tali kadar degupan jantung). Bergantung pada peranti, memindahkan data anda ke peranti lain melalui ANT+ boleh memerlukan peranti Garmin anda berpasangan dengan peranti lain atau ia boleh berlaku secara automatik apabila anda berada dalam lingkungan penderia atau penerima ANT+ yang serasi. Dalam sesetengah keadaan, seperti program kesejahteraan menggunakan vívohub Garmin, peranti anda boleh menggunakan ANT+ untuk menyegerakkan data aktiviti ke hab, yang kemudian memuat naik data ke pelayan Garmin.

Garmin tidak akan memindahkan atau menjual data aktiviti peribadi anda kepada mana-mana pihak ketiga tanpa memberikan notis terlebih dahulu dan mendapatkan persetujuan anda.

LiveTrack

LiveTrack adalah ciri yang tersedia pada sesetengah peranti Garmin yang membolehkan anda menghantar pautan kepada individu terpilih agar mereka dapat melihat lokasi masa nyata peranti anda. Sesiapa yang mempunyai akses kepada pautan itu akan dapat melihat lokasi masa nyata peranti Garmin anda. Jadi anda perlu berwaspada dalam menentukan siapa yang akan mendapat pautan itu dan pastikan anda percaya bahawa mereka tidak akan memajukan pautan itu kepada orang lain yang tidak anda kehendaki.

Jika anda memilih untuk menghantar jemputan bagi melihat lokasi peranti Garmin anda di rangkaian sosial pihak ketiga, bergantung pada amalan privasi rangkaian sosial tersebut, orang lain selain daripada mereka yang ingin dijemput untuk melihat maklumat lokasi anda juga mungkin mendapat akses kepada maklumat tersebut. Oleh itu, anda perlu berwaspada apabila membuat sebarang jemputan melalui rangkaian sosial pihak ketiga dan anda hendaklah menyemak amalan privasi rangkaian sosial tersebut dengan teliti.

Data yang Anda Arahkan Garmin untuk Dikongsi

Anda boleh mengarahkan kami untuk kongsikan Maklumat Peribadi anda dengan individu atau entiti lain. Contohnya, anda boleh mengizinkan kami untuk membenarkan pihak ketiga, seperti pembekal program kesejahteraan atau aplikasi, seperti MyFitnessPal, Strava, Training Peaks, dll. untuk mengakses data aktiviti anda dalam akaun Garmin Connect anda. Kami tidak akan melakukannya tanpa kebenaran anda. Sebaik sahaja anda mengarahkan kami untuk berkongsi data dengan pihak ketiga, pihak ketiga bertanggungjawab atas pengendalian Maklumat Peribadi itu. Jika pihak ketiga itu suatu entiti, anda perlu menyemak dasar privasi entiti tersebut dengan teliti. Anda boleh memilih untuk berhenti berkongsi data dengan pihak ketiga pada bila-bila masa dalam akaun Garmin Connect anda.

Promosi

Jika anda menyertai cabutan bertuah, pertandingan atau promosi yang serupa, kami boleh menggunakan maklumat yang anda berikan untuk mentadbirkan promosi tersebut. Sekiranya terma dan syarat sebarang promosi yang berkaitan dengan pengendalian Maklumat Peribadi anda bercanggah dengan Pernyataan Privasi ini, terma dan syarat promosi itu akan mendahului.

Komen yang Anda Siarkan

Garmin Connect mempunyai ciri yang melaluinya anda boleh menyiarkan maklumat, mesej dan bahan. Contohnya, anda boleh menyiarkan komen pada suatu Cabaran. Sila ambil perhatian bahawa sebarang maklumat yang anda dedahkan melalui ciri sedemikian atau pun di laman web kami boleh menjadi maklumat awam, serta boleh tersedia kepada pengunjung laman web dan orang ramai. Kami menggesa anda untuk menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati apabila membuat keputusan untuk mendedahkan Maklumat Peribadi, atau sebarang maklumat lain di Garmin Connect.

Entiti yang Mungkin akan Dikongsikan Maklumat Peribadi oleh Garmin

Dengan Syarikat Garmin yang Lain

Garmin adalah syarikat perniagaan global. Untuk menawarkan produk, aplikasi dan perkhidmatan kami, kami mungkin perlu memindahkan Maklumat Peribadi anda kepada syarikat Garmin lain di negara lain, termasuk Garmin International, Inc. di Amerika Syarikat, iaitu lokasi kebanyakan pelayan kami. Negara-negara itu mungkin tidak mempunyai undang-undang perlindungan data yang sama seperti negara asal tempat anda memberikan maklumat itu. Anda boleh mengakses senarai syarikat Garmin dengan mengklik di sini.

Sebarang pemindahan Maklumat Peribadi sedemikian dari syarikat Garmin di Kawasan Ekonomi Eropah (“EEA”) atau Switzerland ke Garmin International, Inc. di Amerika Syarikat dijalankan menurut Fasal Kontraktual Model yang diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah.

Semua syarikat Garmin dikehendaki mematuhi amalan privasi yang ditetapkan dalam Pernyataan Privasi ini.

Dengan Pembekal Rangkaian Sosial

Dari semasa ke semasa, kami memberikan alamat e-mel pelanggan Garmin yang memilih untuk menerima surat-menyurat pemasaran tentang produk dan aplikasi Garmin kepada pembekal rangkaian sosial agar mereka dapat membantu kami memaparkan iklan pada halaman rangkaian sosial pengguna lain yang mempunyai ciri yang sama (contohnya, demografi dan minat) dengan pelanggan Garmin yang terpilih.

Dengan Pembekal Perkhidmatan

Garmin menggunakan perkhidmatan awan daripada Adobe untuk membantu menghantar e-mel. E-mel ini dihantar selaras dengan undang-undang yang dikenakan dan pilihan yang tersedia bagi anda seperti yang diterangkan di bawah dengan tajuk Pilihan Anda Tentang Surat-Menyurat Pemasaran. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi Pusat Privasi Adobe di sini.

Garmin menggunakan pembekal perkhidmatan pihak ketiga untuk membantu kami untuk lebih memahami penggunaan laman web dan aplikasi Garmin Express dan Garmin Connect, serta tujuan yang berkaitan. Pihak ketiga yang kini kami gunakan untuk memberikan analisis dan perkhidmatan berkaitan diterangkan di bawah dengan tajuk Kuki dan Teknologi Serupa.

Dengan Pembekal Kandungan atau Ciri

Tertakluk pada undang-undang yang dikenakan, Garmin boleh berkongsi data aktiviti, kecuali maklumat lokasi, dengan syarikat yang membekalkan kandungan atau ciri kepada Garmin dan pelanggan kami (“pembekal kandungan atau ciri”) dengan cara yang tidak akan mengenal pasti diri bagi tujuan meningkatkan kualiti kandungan atau ciri yang dibekalkan oleh Garmin atau pembekal kandungan atau ciri tersebut.

Pendedahan Lain

Kami boleh mendedahkan Maklumat Peribadi anda kepada orang lain jika kami mendapat persetujuan anda untuk berbuat demikian dalam bentuk persetujuan yang dikehendaki di bawah undang-undang.

Tertakluk pada undang-undang yang dikenakan di kawasan kuasa anda, kami boleh juga mendedahkan Maklumat Peribadi anda kepada orang lain jika kami percaya ia adalah perlu atau wajar: (a) di bawah undang-undang atau peraturan yang dikenakan, termasuk undang-undang atau peraturan di luar negara kediaman anda; (b) untuk mematuhi proses perundangan; (c) untuk bertindak terhadap permintaan daripada pihak berkuasa awam dan pegawai penguat kuasa undang-undang, termasuk pegawai di luar negara kediaman anda; (d) untuk membantu atau menyokong siasatan kecurian yang melibatkan produk atau harta Garmin, (e) untuk menguatkuasakan sebarang terma dan syarat atau dasar kami; (f) untuk melindungi operasi kami atau mana-mana sekutu dan anak syarikat kami; (g) untuk melindungi hak, privasi, keselamatan atau harta Garmin, sekutu dan anak syarikatnya, anda, atau orang lain; atau (h) untuk membenarkan kami meneruskan remedi yang ada atau mengehadkan kerugian yang mungkin kami tanggung.

Kami mungkin juga akan memindahkan Maklumat Peribadi kepada sekutu, anak syarikat atau pihak ketiga sekiranya berlaku sebarang penyusunan semula, penggabungan, penjualan, usaha sama, penyerahan hak, pemindahan atau pelupusan lain bagi semua atau sebahagian perniagaan Garmin, aset atau saham, termasuk, tanpa had, berkaitan dengan sebarang kebankrapan atau prosiding yang serupa.

Kuki dan Teknologi Serupa

Untuk membantu menganalisis cara anda dan pengguna lain menavigasi laman web Garmin Connect, menyusun statistik terkumpul tentang penggunaan dan kadar tindak balas laman, membantu mendiagnosis sebarang masalah berkaitan pelayan Garmin dan mentadbir laman web Garmin Connect, maka kami, dengan bantuan pembekal perkhidmatan analisis pihak ketiga, mengumpulkan maklumat tertentu apabila anda melawati laman kami. Maklumat ini termasuk alamat IP, lokasi geografi peranti, jenis pelayar, bahasa pelayar, tarikh dan masa permintaan anda, masa lawatan anda, demografi, bilangan kali halaman dilawati dan unsur halaman (contohnya, pautan) yang telah anda klik. Kami mungkin menggunakan kuki, tag piksel, suar web, GIF telus atau alat lain yang serupa di laman kami atau dalam mesej e-mel kami untuk membantu kami mengumpulkan dan menganalisis maklumat sedemikian. Kami menggunakan maklumat ini untuk memberikan kandungan yang lebih baik dan lebih relevan, mengenal pasti dan membaiki masalah serta meningkatkan pengalaman keseluruhan anda di laman kami.

Jika anda tidak mahu maklumat dikumpulkan melalui penggunaan teknologi ini, terdapat satu prosedur yang mudah dalam kebanyakan pelayar yang membolehkan anda menolak kebanyakan teknologi sebegini secara automatik, atau diberi pilihan untuk menolak atau menerimanya. Di samping itu, jika anda tinggal di kawasan dengan bidang kuasa yang menghendaki kami mendapatkan kebenaran anda untuk menggunakan kuki di laman web kami, maka anda akan berpeluang untuk menguruskan keutamaan kuki anda di laman tersebut; kecuali sesetengah kuki yang memang diperlukan untuk mendayakan fungsi teras laman dan anda tidak boleh memilih untuk menyahdayakan kuki tersebut.

Kami juga mengumpulkan data daripada para pengguna tentang penggunaan Garmin Connect Mobile dan Garmin Express mereka. Jenis maklumat analisis yang dikumpulkan termasuk tarikh dan masa aplikasi mengakses pelayan kami, versi aplikasi, lokasi peranti, tetapan bahasa, maklumat dan fail yang telah dimuat turun ke aplikasi, peri laku pengguna (contohnya, ciri yang digunakan, kekerapan penggunaan), maklumat keadaan peranti, model peranti, maklumat perkakasan dan sistem pengendalian serta maklumat berkaitan dengan cara aplikasi berfungsi. Garmin menggunakan data ini untuk meningkatkan kualiti dan kefungsian Garmin Connect Mobile, Garmin Express dan aplikasi Garmin yang lain; untuk membangunkan dan memasarkan produk dan ciri yang terbaik untuk anda dan pengguna lain, serta untuk membantu mengenal pasti dan membaiki isu kestabilan aplikasi dan masalah kebolehgunaan lain secepat mungkin.

Berikut adalah contoh analisis dan perkhidmatan yang serupa daripada pembekal pihak ketiga yang kami gunakan sekarang:

  • Perkhidmatan Analisis:
    • Google: Google Analytics digunakan untuk mengesan statistik laman dan demografi, minat serta peri laku pengguna di laman web. Kami juga menggunakan Google Search Console untuk membantu memahami cara pengunjung mencari laman web kami dan untuk meningkatkan pengoptimuman enjin carian kami. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang cara maklumat analisis ini digunakan dan cara untuk mengawal penggunaan maklumat anda, dengan mengklik di sini.
    • Azure Application Insights: Azure Application Insights digunakan untuk membantu kami lebih memahami tentang penggunaan Garmin Express demi meningkatkan pengalaman pengguna. Azure Application Insights adalah perkhidmatan Microsoft. Dasar privasi Microsoft tersedia di sini.
    • HockeyApp; Crashlytics (Fabric): HockeyApp, iaitu suatu perkhidmatan Microsoft dan Crashlytics digunakan untuk membantu kami lebih memahami tentang penggunaan aplikasi Garmin Connect Mobile demi meningkatkan pengalaman pengguna dan mengenal pasti serta menyelesaikan punca aplikasi ranap. Dasar privasi untuk Crashlytics tersedia di sini.
    • Splunk: Splunk digunakan untuk menganalisis, mencarisilapan dan menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku dari semasa ke semasa dengan fungsi log masuk akaun Garmin, dan ia juga digunakan untuk membantu Garmin melindungi laman web dan aplikasinya daripada penggunaan hasad. Dasar privasi Splunk tersedia di sini.
  • Pengurusan Tag: Garmin menggunakan Tealium IQ Tag Management untuk membantu menguruskan pelbagai perkhidmatan analisis serta teknologi kuki dan tag piksel yang digunakan oleh Garmin untuk menilai penggunaan laman web. Untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian, Tealium menerima maklumat log pelayan asas daripada pengguna laman web Garmin (contohnya, alamat IP, maklumat pelayar dan sistem pengendalian). Penggunaan maklumat tersebut oleh Tealium dikawal oleh dasar privasi Tealium, yang terletak di sini.
  • Rangkaian Sosial: Rangkaian sosial pihak ketiga yang menyediakan perisian pasang masuk interaktif atau ciri rangkaian sosial (contohnya, untuk membenarkan anda bersambung ke Facebook atau Google untuk mencari rakan bagi ditambahkan sebagai orang hubungan atau untuk “Suka” halaman) pada aplikasi Garmin Connect atau Garmin Connect Mobile, mungkin menggunakan kuki atau kaedah lain (contohnya, suar web) untuk mengumpulkan maklumat berkenaan penggunaan laman web kami oleh anda. Penggunaan maklumat seumpamanya oleh pihak ketiga bergantung pada dasar privasi yang tersedia pada laman web rangkaian sosial itu, dan kami galakkan anda agar menyemak dasar ini dengan teliti. Pihak ketiga tersebut mungkin menggunakan kuki ini atau kaedah penjejakan yang lain untuk tujuan mereka sendiri dengan mengaitkan maklumat penggunaan laman web kami oleh anda dengan sebarang Maklumat Peribadi anda yang ada padanya. Kami mungkin juga akan mendapatkan maklumat analisis daripada rangkaian sosial yang membantu kami menilai keberkesanan kandungan dan iklan kami di rangkaian sosial (contohnya, tanggapan dan klik).

Pautan, Aplikasi Pihak Ketiga dan Amalan Privasi Pihak Ketiga

Garmin Connect dan Garmin Connect Mobile mungkin mengandungi pautan kepada laman lain yang tidak dikendalikan oleh Garmin dan anda boleh memuat turun aplikasi pihak ketiga daripada Connect IQ. Laman dan aplikasi yang dipautkan ini tidak berada di bawah kawalan kami dan kami tidak bertanggungjawab atas amalan privasi atau kandungan mana-mana laman web dan aplikasi yang dipautkan. Jika anda menggunakan mana-mana laman atau aplikasi pihak ketiga, sebarang Maklumat Peribadi yang dikumpulkan oleh laman atau aplikasi pihak ketiga itu akan dikawal oleh dasar privasi pihak ketiga tersebut. Kami mengesyorkan agar anda menyemak dengan teliti pernyataan privasi mana-mana pihak ketiga yang anda berikan Maklumat Peribadi.

Lokasi Storan Data

Apabila anda memberikan maklumat kepada Garmin atau menyegerakkan peranti Garmin anda dengan Garmin Connect, Garmin Connect Mobile atau Garmin Express, Maklumat Peribadi dan data aktiviti anda pada Garmin Connect akan dikumpul dan disimpan oleh Garmin International, Inc. di Amerika Syarikat. Maklumat Peribadi anda juga mungkin dikumpulkan dan disimpan pada pelayan di negara atau rantau tempat anda tinggal atau tempat anda menggunakan peranti Garmin anda. Jika anda tinggal di negara luar dari Amerika Syarikat, sila maklum bahawa undang-undang perlindungan data dan privasi Amerika Syarikat mungkin tidak selengkap undang-undang di negara anda.

Keselamatan

Garmin mengambil langkah-langkah keselamatan yang munasabah untuk membantu melindungi daripada kerugian, penyalahgunaan, akses yang tidak dibenarkan dan pendedahan atau pengubahan yang tidak dibenarkan ke atas Maklumat Peribadi yang di bawah kawalannya. Untuk butiran tambahan tentang langkah keselamatan data Garmin atau untuk melaporkan kemungkinan kelemahan atau kejadian sebenar berkenaan keselamatan, klik di sini.

Pilihan Anda Tentang Surat-Menyurat Pemasaran

Kami dan ahli kumpulan syarikat Garmin yang lain boleh menggunakan Maklumat Peribadi anda untuk menghantar surat-menyurat berkaitan pemasaran (termasuk e-mel) yang berkaitan dengan produk atau aplikasi Garmin menurut keutamaan e-mel anda dalam Pusat Keutamaan myGarmin. Kami tidak berkongsi Maklumat Peribadi dengan pihak ketiga untuk tujuan pemasaran pihak ketiga.

Untuk memilih keluar daripada menerima surat-menyurat berkaitan pemasaran daripada Garmin, sila kemas kini keutamaan e-mel anda dalam Pusat Keutamaan myGarmin atau klik “Nyahlanggan” daripada sebarang e-mel pemasaran yang anda terima daripada Garmin.

Dasar Berkenaan Kanak-kanak

Garmin Connect dan Garmin Connect Mobile tidak ditujukan kepada individu di bawah umur 16 tahun, dan kami meminta individu di bawah 16 tahun tidak memberikan Maklumat Peribadi kepada Garmin. Jika kami mengetahui bahawa kami telah mengumpulkan Maklumat Peribadi daripada kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, kami akan mengambil langkah-langkah untuk memadamkan maklumat tersebut secepat mungkin. Jika anda mendapat tahu tentang pengguna di bawah umur 16 tahun yang menggunakan Garmin Connect atau Garmin Connect Mobile, sila hubungi kami di productsupport.privacy@garmin.com.

Kemas Kini Pernyataan Privasi

Kami mungkin mengubah Pernyataan Privasi ini dari semasa ke semasa apabila kami menambah produk dan aplikasi baru, apabila kami menambah baik penawaran yang ada, dan apabila teknologi dan undang-undang berubah. Anda boleh mengetahui tarikh semakan terakhir Pernyataan Privasi ini dengan merujuk petunjuk “TERAKHIR DIKEMAS KINI” di bahagian atas halaman ini. Sebarang perubahan akan berkuat kuasa setelah kami menyiarkan Pernyataan Privasi yang terbaru.

Kami akan memberi anda notis jika perubahan ini penting, dan jika dikehendaki oleh undang-undang, kami akan mendapatkan persetujuan anda. Selaras dengan undang-undang yang dikenakan, notis ini akan diberikan melalui e-mel atau dengan menyiarkan notis perubahan di laman web Garmin Connect dan melalui aplikasi Garmin Connect Mobile.

Pengekalan Maklumat Peribadi

Kami akan mengekalkan Maklumat Peribadi anda untuk tempoh yang diperlukan bagi memenuhi tujuan Maklumat Peribadi anda dikumpulkan, seperti yang digariskan dalam Pernyataan Privasi ini, melainkan tempoh pengekalan yang lebih lama dikehendaki oleh undang-undang.

Cara Menyemak Semula, Membetulkan, Mengemas Kini dan Memadam Maklumat Peribadi Anda

Garmin mengambil langkah-langkah munasabah untuk memastikan Maklumat Peribadi yang kami kumpulkan daripada anda adalah tepat, lengkap dan terkini. Anda boleh meminta akses kepada Maklumat Peribadi anda dan meminta Maklumat Peribadi yang salah atau tidak tepat dikemas kini. Anda juga boleh meminta agar Maklumat Peribadi dan akaun Garmin Connect anda dipadamkan. Garmin akan bertindak dengan segera terhadap permintaan anda menurut undang-undang yang dikenakan. Untuk perlindungan anda, kami hanya boleh melaksanakan permintaan berkenaan Maklumat Peribadi yang berkaitan dengan alamat e-mel yang anda gunakan untuk menghantar permintaan anda, dan kami mungkin perlu mengesahkan identiti anda sebelum melaksanakan permintaan anda. Kami mungkin menolak untuk memproses permintaan yang akan menjejaskan privasi orang lain, yang sangat tidak praktikal, atau yang akan menyebabkan kami mengambil sebarang tindakan yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang yang dikenakan. Selain itu, seperti yang dibenarkan oleh undang-undang yang dikenakan, kami mungkin perlu mengekalkan Maklumat Peribadi tertentu untuk tempoh yang lebih lama bagi tujuan penyimpanan rekod, seperti mengekalkan rekod berkaitan dengan pembelian anda untuk tujuan waranti atau perakaunan.

Permintaan akses, pembetulan atau pemadaman boleh dibuat seperti berikut:

E-mel: productsupport.privacy@garmin.com 
  Pos: Garmin International, Inc., c/o Garmin Legal, 1200 E. 151st St., Olathe, KS 66062, U.S.A.